Tidurlah untuk Kurus!

Tidur merupakan salah satu keperluan dalam hidup manusia, di mana jika kita kurang tidur sudah pasti menjejaskan kehidupan seharian kita. banyak kajian yang mengaitkan tidur yang tidak cukup dan obesiti atau terlebih makan.

Ini adalah kerana gangguan kepada 2 hormon penting dalam badan iaitu Leptin dan ghrelin.

Leptin berfungsi untuk memberitahu bila kita sudah kenyang , manakala ghrelin menaikkan selera makan dan memberitahu kita bila kita lapar. Tidur yang tidak cukup akan mengurangkan leptin sekaligus kita merasa lambat kenyang dan pada masa yang sama menaikkan ghrelin yang membuatkan kita makan tanpa rasa kenyang. Ini menjadikan kita terlebih makan sekaligus menaikkan berat badan tanpa sedar!

Tidur yang sihat adalah antara 6-8 jam sehari dan paling penting sebenarnya adalah tidur yang berkualiti atau dalam keadaan ‘deep sleep’. Tidur antara jam 10 -11 malam sudah mencukupi bagi mereka yang aktif di waktu malam (bersenam, bersukan)

Bagaimana pemakanan dapat membantu anda tidur lebih nyenyak sekaligus menurunkan berat badan anda?

  1. Makanan tinggi triptofan dan kalsium antara makanan yang membantu meningkatkan rembesan melatonin sekaligus memberi ketenangan sebelum tidur. Karbohidrat juga membantu tetapi tidak secara terus. Rembesan insulin membantu triptofan lebih senang diserap dan sampai ke otak.

Contoh menu supper :

Susu rendah lemak + 3 sudu oats

Atau

Roti wholemeal 2 keping + keju 1 keping

Atau

Biskut 3 keping + susu segar

2. Minum air masak secukupnya sepanjang hari iaitu sebanyak 1.5 – 2 liter sehari. Keperluan bendalir badan yang mencukupi akan memberikan anda tidur yang lebih berkualiti.

3. Makan makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan sebanyak 2-3 kali sehari. Vitamin dan mineral yang cukup akan membolehkan badan anda berada dalam keadaan rehat yang secukupnya.

4. Elakkan makanan bercaffein melebihi 2 kali sehari seperti kopi, teh, nescafe dan lain-lain. Caffein akan menjejaskan kualiti tidur anda sekaligus menjadikan anda lebih ‘alert’ di waktu malam.

Jadi, mari kita mulakan perubahan dalam diet kita untuk mendapatkan tidur yang lebih berkualiti serta menjadikan hari esok lebih hebat!

 

Penulis : Mohd Khairul Azuan bin Din – Dietitian