Apakah yang anda sedang lakukan saat ini? Duduk sambil membaca artikel ini? Jika ya, ayuh bangun dan lakukan sedikit regangan sambil membaca.

Satu kajian pada 2015 menunjukkan bahawa manusia zaman ini menghabiskan kebanyakan waktu jaganya dengan duduk. Kebanyakan daripada kita bekerja sambil duduk, bersosial sambil duduk, melakukan hobi sambil duduk dan menghabiskan waktu lapang dengan duduk menonton televisyen. Oleh sebab itu, teknologi maju mula mereka cipta meja berdiri, kerusi bola, dan meja komputer treadmill, untuk menggalakkan manusia untuk lebih aktif.

Tahukah anda bahawa gaya hidup sebegini bukan sahaja boleh menyebabkan kegemukan, malah diabetes? Gaya hidup tidak aktif ini boleh mengganggu metabolisme glukosa dan lemak, dan meningkatkan risiko masalah jantung.

Di negara maju seperti Amerika, pelbagai pihak telah mengeluarkan polisi dan saranan kepada rakyat dunia untuk meningkatkan aktiviti fizikal dan mengurangkan masa duduk. Kita dinasihatkan untuk meluangkan sedikit masa dalam sehari untuk bersenam atau bersukan.

“Tapi saya melakukan dua pekerjaan sehari dan kedua-duanya memerlukan saya untuk duduk di hadapan komputer.” Bagi individu yang langsung tidak dapat meluangkan masa untuk bersenam atau bersukan, dicadangkan untuk melakukan pergerakan atau regangan secara berkala-kala. Elakkan daripada duduk secara berterusan dalam jangka masa yang lama. Selain itu, aktiviti fizikal anda boleh ditingkatkan dengan menggunakan tangga, dan meletakkan kereta jauh daripada pinta masuk. Ini adalah lebih baik untuk anda.

MENONTON TELEVISYEN

Mengapakah televisyen sering dikaitkan dengan aktiviti yang kurang sihat walaupun pelbagai info terkini boleh didapati melaluinya?

Hal ini kerana, kita mudah leka apabila menonton televisyen. Drama atau cerita yang menarik dan ditambah pula dengan tiada tayangan iklan akan menyebabkan kita duduk dengan lama. Selain itu, hidangan snek ringan dan minuman manis sewaktu tontonan akan meningkatkan pengambilan kalori kita.

Aktiviti menonton televisyen akan menjadi lebih baik untuk  kita apabila kita melakukan senaman sambil menonton televisyen. Bukan sahaja kita menjadi semakin aktif, bahkan juga, mengawal diri daripada makan snek yang kurang berkhasiat.

Ayuh aktifkan diri! Kita hidup dalam badan kita. Marilah jaga badan kita dengan baik.

Sumber: http://www.todaysdietitian.com/newarchives/0617p16.shtml