Seperti kebiasaannya sebelum melihat data pesakit saya di komputer, saya akan lihat dulu keadaan pesakit di katil secara sekali imbas. Kelihatan seorang pakcik cina, sudah lewat usia tapi kemas pakaiannya berada di sebelah katil pesakit. Bajunya berpetak-petak dan tuck-in. Pesakit pula wanita. Nampak mereka macam sebaya dan betul jangkaan saya. Mereka suami isteri.

Saya mula menyemak data pesakit. “emm.. kanser usus.. patutla kurus. Umur pun dah lewat 80-an .. Panjang jodoh mereka berdua ye.. ” kata hati saya. Dari tempat komputer, boleh nampak pakcik tersebut sedang memandang isterinya sambil mengusap tangan dan ubun-ubun isterinya.

“Hi Uncle.. Saya Khairul, Dietitian.. Pakar Pemakanan.. Mau tanya sikit.. auntie makan okey ke?” Sambil saya menunjuk kepada pesakit yang terbaring di katil.

Suami pesakit terus bangkit dari kerusi beliau dan merapatkan diri ke arah saya. Rasanya macam nak terkam saya. Rapat sangat kedudukannya.Saya rasa mungkin pendengaran beliau sudah kurang baik. Sebab itu beliau merapatkan badan.. Badannya sudah terketar-ketar kerana sudah tua. Dia mendongakkan kepalanya melihat saya.

” Sudah tak makan dari semalam, doktor. Ada itu doktor perempuan yang datang pagi tadi cakap jangan makan.. ” Katanya dengan nada sangat bersungguh-sungguh.

” Owh, okey-okey.. sudah berapa lama auntie masuk wad ye? ” Tanya saya lagi sekadar ingin kepastian.

Uncle tersebut berfikir sejenak sambil terketar-ketar mengira dengan jarinya.

” Empat hari. Tapi dekat rumah pun dia makan sikit-sikit saja.. satu sudu.. dua sudu.. sudah dua tiga minggu. Lepas itu sekarang masuk wad.” Mukanya masih bersemangat bercerita mengenai keadaan isterinya.

Saya menyemak sekali lagi rekod pesakit. Risau jika ada apa-apa medical condition yang terlepas dari pandangan saya.

“Macam ini uncle.. Auntie memang tak boleh makan dan minum.. Doktor tengah check jika ada sebarang kerosakan lain pada usus auntie. Kalau kasi makan nanti susah. ” Saya terdiam sekejap sebelum meneruskan ayat sambil memandang kondisi isteri beliau. Kurusnya, Ya Allah. Lemah dan tak bercakap langsung.

Kemudian saya menghabiskan ayat.. ” Ok Uncle, kami akan sediakan susu tenaga untuk auntie tapi masuk dalam darah terus. Auntie tak perlu minum pun. Ini mau kasi Auntie kuat sikit.. nanti mahu operation kena kuat. Uncle jaga auntie baik-baik dekat wad ye .”

Matanya memandang saya. Badannya masih rapat dengan saya dan boleh saya katakan sudah masuk ‘personal distance’..

Kali ini dia betul betul masuk rapat. Saya segan nak undur ke belakang.

” Doktor tolong kasi dia kuat balik ya. Kami dari jauh datang mahu rawat. Bayar tak apa. Saya bayar. Saya bayar.. ” Ujarnya sambil dia menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan tiga sampul surat lusuh. Mahu dihulurkan kepada saya.

Saya menolak dengan perlahan dan pegang tangannya yang memegang sampul ” Tak apa uncle. Ini bayar nanti mahu keluar wad. Sekarang uncle jaga auntie kasi sihat-sihat dulu.. “..

Dia kemudiannya mengalih pandangan kepada isterinya dan menggosok-gosok tangan isterinya walaupun isterinya tidak memberi respon.

Matanya seolah-olah berkata :

” Tolong jangan pergi dahulu sebelum aku.. ”

Berkaca mata saya. Terus siapkan dietitian notes cepat-cepat dan balik rumah cari bini yang ketuk ular dalam mimpi saya semalam.

.
.

KhairulDietitian
Cinta Jangan Pergi