Baru-baru ini ramai yang berkongsi maklumat tentang diet ketogenik. Benarkah diet ketogenik ini merupakan diet yang paling berkesan dalam menurunkan berat badan? Yang sebenarnya…

 

DIET KETOGENIK DAN KETOSIS

  1. Ketosis berlaku semasa manusia mengalami kebuluran. Oleh sebab badan kita menyayangi kita, badan kita mengubah proses metaboliknya agar kita dapat meneruskan hidup.
  2. Bagaimanakah? Apabila simpanan glikogen (karbohidrat yang disimpan di dalam hati dan otot sebagai sumber tenaga) semakin berkurang, simpanan lemak yang digunakan sebagai sumber tenaga alternatif. Ketosis menghasilkan ketone yang akan menjadi sumber tenaga untuk otak berfungsi, semasa kehabisan glukosa.
  3. Ketosis berlaku sewaktu berpuasa atau apabila jumlah pengambilan karbohidrat dalam sehari adalah kurang daripada 20g hingga 30g. Ini dikenali sebagai diet ketogenik, di mana pengambilan lemak dalam sehari adalah 70% hingga 80% daripada jumlah kalori, dan pengambilan protein yang sederhana.

 

DIET KETOGENIK DAN KURUS

  1. Bagaimana boleh kurus dengan diet ketogenik? Proses ini berlaku apabila badan sentiasa menggunakan simpanan lemak sebagai sumber tenaga untuk memenuhi keperluan seharian.
  2. Diet ketogenik bukanlah diet magik. Senaman dan kawalan pengambilan kalori juga perlu untuk menampakkan hasil yang positif.
  3. Diet ketogenik juga membantu mengawal rasa lapar. Oleh itu, pengambilan kalori dalam sehari dapat dikawal.
  4. TETAPI! Kekurangan kajian berkaitan dengan kesan jangka masa panjang mengamalkan diet ketogenik menimbulkan pelbagai persoalan. Antara isu kesihatan yang membimbangkan adalah fungsi buah pinggang, dan metabolisme tulang.
  5. Hal ini kerana, pengambilan protein yang agak tinggi akan meningkatkan kandungan nitrogen di dalam badan. Kandungan nitrogen yang tinggi boleh memberi tekanan kepada buah pinggang. Apabila fungsi buah pinggang terganggu, kesihatan tulang juga akan terkesan.
  6. Pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, dan serat sangat kurang dalam diet ketogenik. Hal ini kerana, makanan-makanan ini adalah dalam kumpulan karbohidrat.
  7. Badan kita akan mengalami kekurangan zat yang penting seperti vitamin dan mineral. Oleh itu, pengambilan suplemen adalah perlu dengan diet ketogenik.

Dapatkan panduan dan nasihat daripada dietitian dan doktor sekiranya anda ingin mengubah diet anda.

Sumber: http://www.todaysdietitian.com/newarchives/0917p12.shtml