Pemakanan Bulan Ramadan : Soalan Lazim


Soalan lazim berkenaan Diet Di Bulan Ramadan.

  1. Bagaimana puasa dapat membantu dalam kesihatan seseorang
  • Berpuasa khususnya dalam bulan Ramadan dapat membantu kita merehatkan seketika perut kita dari pemakanan yang kurang sihat. Pada masa yang sama puasa dapat meringankan beban kepada perut, hati dan buah pinggang dalam melakukan kerja seharian sepanjang tahun.

 

  1. Adakah bahaya berdiet ketika berpuasa
  • Tidak berbahaya mengamalkan diet semasa bulan puasa. Diet bermaksud gaya pemakanan. Jadi bulan puasa sebenarnya bulan yang sangat baik untuk mengamalkan diet yang sihat. Banyak kajian dilakukan untuk melihat kadar pengambilan tenaga dan nutrient semasa bulan Ramadan dan keputusan amat mengejutkan kerana banyak juga kajian yang menunjukkan kenaikan jumlah pengambilan tenaga di bulan Ramadan berbanding bulan lain dan peratusan terbanyak adalah dari makanan berlemak.
  • Jadi ambilan diet yang sihat sangat perlu pada bulan puasa tetapi bukab niat mahu menurunkan berat badan semata-mata tetapi untuk kesihatan dan memudahkan ibadah.

 

  1. Apakah kesan baik puasa terhadap badan?
  • Mengikut kajian yang dilakukan, puasa dapat membantu mengawal gula dalam darah yang mana sangat baik untuk pesakit diabetes. Ia meningkatkan sensitivity insulin dan mengurangkan risiko diabetes. Selain itu, puasa juga membantu menurunkan kadar kolesterol dalam badan bagi pesakit atau mereka yang memepunyai kadar kolesterol jahat (LDL) yang tinggi di dalam darah. Selain itu, puasa juga dapat membantu menurunkan kandungan lemak dalam badan jika mengamalkan diet yang baik sepanjang Ramadan.

 

  1. Tips ringkas pemilihan makanan di bulan Ramadan.
  • Jangan tinggalkan sahur dan kalau boleh lewatkan bersahur. Pilih jus buah atau buahan segar dan makanan yang rendah glisemik indeks seperti beras perang, roti mil penuh, oats dan lain-lain. Makan lebih sayuran jika anda mengambil nasi putih atau roti putih.
  • Minum air masak becukupnya bermula dari berbuka puasa dan bersahur. Minum segelas air masa setiap jam sebelum tidur malam.
  • Berbuka dengan 2-3 biji kurma sebelum makan nasi atau makanan lain. Selepas itu minum segelas air masak. Kurangkan makanan tinggi gula dan lemak semasa berbuka kerana boleh membuatkan anda kelesuan sebelum terawikh. Ia juga dapat membuat ketidakselesaan perut.
  • Hadkan pengambilan teh/kopi semasa waktu berbuka kerana ia mempunyai kesan diuretic iaitu anda akan lebih kerap membuang air kecil, sekaligus peningkatkan risiko dehidrasi sewaktu siang hari.
  • Makanan masin seperti ikan masin, telur masin, makanan segera/terproses, sos, kicap dan budu juga akan meningkatkan risiko dehidrasi pada waktu berpuasa.
  • Makan secara perlahan-lahan bagi mengelakkan makan berlebihan.

 

  1. Panduan kekal sihat semasa bulan puasa
  • Bersenam secara sederhana, samada sebelum bersahur atau selepas berbuka. Anda juga boleh bersenam 30 minit sebelum berbuka puasa jika masih bertenaga. Saya hanya galakkan senaman berintensiti rendah dan sederhana.
  • Kurangkan tidur pada waktu siang kecuali masa sunat sahaja seperti 15 minit sebelum waktu zohor.
  • Kurangkan aktiviti luar jika cuaca panas.
  • Pesakit diabetes boleh membuat ujian darah hujung jari pada jam 1-2 petang bagi mengelakkan masalah hipoglycemia. Jika paras gula di bawah 3.0 mmol/L, pesakit digalakkan berbuka puasa.

Semoga Bermanfaat.

Sumber : Mohd Khairul Azuan bin Din – Dietitian Pusat Perubatan UM