Masalah perut buncit sudah tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia zaman ini. Kini, malah orang yang bertubuh kurus juga mengalami masalah perut buncit. Jom baca artikel ini untuk maklumat lebih lanjut!

PERUT BUNCIT

Tidak Aktif
Pada zaman serba canggih ini, manusia menjadi semakin malas untuk bergerak. Cara hidup yang tidak aktif, dan kurang berminat untuk menjaga pemakanan menjadikan perut buncit masalah kesihatan yang serius. Masalah ini boleh menyebabkan penyakit-penyakit seperti sakit jantung, diabetes, dan darah tinggi.

Umur Meningkat
Semakin meningkat umur, semakin kurang aktif seseorang itu. Pada usia muda, kita sering meluangkan masa untuk bersukan dengan kawan-kawan di taman rekreasi, mendaki bukit, bermain bola dan sebagainya. Apabila sudah bersusia, kita lebih banyak menghabiskan masa duduk di rumah dan kurang bergerak.

PERUT BUNCIT DAN BERSENAM

Banyak kajian telah dibuat berkenaan senaman dan kesihatan tubuh badan. Tiga faktor utama berkaitan kegemukan yang menyumbang kepada masalah kesihatan ialah: kawasan lemak berkumpul dalam badan, jumlah lemak visceral, dan kurang fizikal aktiviti.

Pengumpulan lemak yang berlebihan di bahagian perut adalah lebih berbahaya daripada di bahagian kaki dan punggung. Pendek kata, orang yang mempunyai bentuk badan buah epal lebih berisiko untuk mendapat masalah kesihatan berbanding orang yang mempunyai bentuk badan buah pir. Hal ini kerana, kebanyakan organ manusia berada di kawasan abdomen.

Lemak yang terkumpul di sekitar organ-organ ini dipanggil lemak visceral. Kandungan lemak visceral yang tinggi akan meningkatkan risiko mendapat penyakit berbahaya.

Oleh itu, dengan meningkatkan aktiviti fizikal, risiko mendapat penyakit berbahaya boleh dikurangkan. Peningkatan aktiviti fizikal akan menggunakan tenaga daripada lemak yang terkumpul itu. Pengurangan berat badan sebanyak 3 hingga 5 peratus pun dapat mengurangkan risiko tersebut.

Orang dewasa disarankan untuk bersenam 30 minit sebanyak 5 hari seminggu, dan ditambah dengan 2 sesi senaman kekuatan/rintangan untuk menguatkan otot. Bagaimana hendak tahu sama ada lemak visceral telah berkurang? Senang! Jika seluar sudah longgar, ini bererti saiz lemak di bahagian abdomen telah mengecil.

PERUT BUNCIT DAN PEMAKANAN

Menjaga cara pemakanan bukanlah perkara yang mudah. Terdapat pelbagai jenis diet diluar sana yang dikatakan berkesan dalam mengurangkan berat badan. Cara yang manakah yang paling berkesan? Senang! Mulakan dengan makan jenis makanan yang mengenyangkan, seperti bijirin gandum penuh, sayur-sayuran, dan buah-buahan. Selain itu, kurangkan makan makanan yang manis dan berminyak.

Juga disarankan untuk elakkan daripada makan dalam keadaan beremosi. Tabiat ini perlu diubah dengan mencari cara lain untuk melepaskan stres, kemarahan atau kesedihan. Contohnya, dengan bersenam atau melakukan sukan yang digemari.

Mulakan hari ini atau anda tidak akan berganjak daripada masalah ini!

Sumber: http://www.todaysdietitian.com/newarchives/0516p12.shtml